Ahad, 7 Oktober 2012

10,000 PELABUR JONGKONG EMAS GENNEVA MULA TERTEKAN

Dianggarkan seramai 10,000 pelabur syarikat pelaburan jongkong emas, Genneva Malaysia Sdn.Bhd di Pulau Pinang semakin tertekan memikirkan masa depan syarikat terbabit yang diserbu Bank Negara Malaysia (BNM) pada 1 Oktober lalu.

Rata-rata pelabur yang terdiri daripada warga emas, pesara kerajaan dan swasta itu memberitahu mereka telah membuat pelaburan mencecah puluhan ribuan ringgit sejak penubuhannya pada tahun 2009. Perkara itu berbangkit selepas pejabat syarikat itu yang terletak di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur diserbu BNM setelah disyaki menjalankan kegiatan mengambil deposit secara haram daripada pelabur.

Salah seorang pelabur, D. Venkatason, 64 berkata dia bergantung sepenuhnya terhadap pendapatan pelaburan emas tersebut bagi menanggung perbelanjaan harian ahli keluarganya. Menurutnya, sejak memulakan pelaburan dua tahun lalu syarikat itu tidak pernah memperdaya atau menipu pelabur sebaliknya mereka memperoleh pendapatan berpatutan.

Sementara itu, jururunding syarikat berkenaan, Nor Diana Nasaruddin memberitahu segala transaksi syarikatnya diterima menerusi cek serta pemindahan akaun bagi membuktikan pelaburan itu bukannya haram. Diana berkata, 30% daripada pelabur negeri ini merupakan pelabur Islam memandangkan pelaburan ini mematuhi undang-undang Islam.

"Berdasarkan syariah, orang Islam boleh melabur emas dalam bentuk jongkong serta tablet dan syarikat ini memberikan emas kepada pelaburnya sebaik mereka melabur,"katanya.

Tiada ulasan: