Sabtu, 6 Oktober 2012

3 LAGI SYARIKAT PELABURAN EMAS DISERBU

KUALA LUMPUR - Tiga lagi syarikat yang disyaki terbabit dalam aktiviti pengambilan deposit haram dengan berselindung di sebalik syarikat pelaburan emas, diserbu di ibu negara semalam. Syarikat itu ialah Pageantry Gold Berhad yang beroperasi di Taman Danau Kota, Setapak ; Worldwide Far East Berhad (Bandar Baru Sri Petaling) dan Caesar Gold Sdn.Bhd di Batu 3, Jalan Klang Lama.

Serbuan dilakukan serentak Bank Negara (BNM), Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan kira-kira jam 3 petang. BNM dalam kenyataannya semalam berkata, ketiga-tiga syarikat itu juga dipercayai melakukan kesalahan mengubah wang haram, mengelak cukai, memberikan deskripsi palsu termasuk gambaran yang salah dan melantik ejen tanpa lesen.

Isnin lalu, pihak berkuasa melakukan serbuan ke atas Genneva Malaysia Sdn Bhd dan kediaman pengarah-pengarah syarikat berkenaan kerana disyaki melakukan kesalahan sama. Sementara itu, dalam operasi semalam premis di Jalan Klang Lama didapati tidak beroperasi, malah pemilik syarikat dipercayai sudah melarikan diri berikutan operasi secara besar-besaran dilancarkan BNM sejak awal minggu ini.

Pihak berkuasa turut merampas pelbagai peralatan komputer, selain fail dokumen dipercayai mengandungi maklumat urus niaga syarikat terbabit bagi membantu siasatan. BNM dalam satu kenyataannya malam tadi mengingatkan orang ramai tidak mudah terpedaya dengan individu atau syarikat yang menjanjikan pulangan lumayan melalui peluang perniagaan, termasuk skim pelaburan ditawarkan.

Siasatan juga dijalankan bagi mengenal pasti sama ada ketiga-tiga syarikat itu pernah dikenakan tindakan sebelum ini atas kesalahan yang sama. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 24 (1) Akta Penggubahan Wang Haram dan Seksyen 25 (1) Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

"Kita sedang mengenal pasti saiz dan rangkaian operasi ketiga-tiga syarikat itu termasuk jumlah pelanggan dan pelaburan mereka,"katanya.

Tiada ulasan: