Selasa, 30 Oktober 2012

5 LUBANG CEPAT KAYA

Sekumpulan penyamun disyaki 'pakar' menebuk lima lubang-tiga pada dinding dan dua pada peti besi sebelum melarikan barang kemas bernilai RM1 juta dari sebuah kedai, semalam. Kejadian hanya disedari pekerja yang kebetulan datang untuk mengambil begnya yang tertinggal.

Tiga lubang ditebuk pada dinding sebagai laluan masuk manakala dua lubang lagi digerudi pada peti besi untuk membolehkan sekumpulan penjenayah melarikan barang kemas berjumlah RM1 juta dari sebuah kedai emas di Jalan Genting Klang, Setapak semalam.

Ketika kejadian, kedai emas itu ditutup dan kehilangan barang kemas dalam rak kaca pameran disedari pekerja kedai berkenaan jam 7 malam kelmarin ketika dia datang untuk mengambil barangnya yang tertinggal. Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Supritenden Othman Abu Bakar berkata, kebiasaannya kedai itu ditutup jam 8 malam setiap hari serta tidak beroperasi pada hari Ahad.

Menurutnya, suspek mungkin menggunakan gas acetylene untuk melembutkan peti besi yang tersimpan dalam bilik berkunci itu sebelum tebukan dilakukan berbentuk bulat.

"Polis percaya penjenayah itu dilakukan lebih daripada tiga orang berdasarkan jumlah lubang yang dibuat serta tindakan mereka menutup dinding cermin hadapan kedai itu dengan menggunakan kertas bagi mengelak perbuatan mereka dikesan orang ramai yang lalu lalang. Kami juga percaya suspek mempunyai kepakaran menggunakan peralatan memecah dinding serta peti besi, selain sudah lama memerhatikan premis berkenaan," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Othman berkata, siasatan juga mendapati alat penggera serta kamera litar tertutup (CCTV) kedai itu gagal berfungsi selepas wayarnya dipotong suspek. Mereka menghalakan CCTV yang dipasang di belakang kedai ke arah jalan sebelum memutuskan wayarnya,"katanya.

Tinjauan di tempat kejadian mendapati lubang pertama yang ditebuk pada dinding belakang premis hanya muat untuk saiz badan seorang dewasa. Bagaimanapun, lubang kedua dan ketiga yang ditebuk pada dinding di bahagian dalam premis itu bersaiz lebih besar, mungkin untuk memudahkan lagi  mereka masuk ke bilik yang menyimpan peti besi.

Sumber : Harian Metro

Tiada ulasan: