EMAS YANG DIRAMPAS HANYA BOLEH DIURUS OLEH MAHKAMAH
KUALA LUMPUR 22 OKT. - Aset yang dirampas semasa siasatan dijalankan bagi kes-kes jenayah melibatkan skim kewangan haram menggunakan emas hanya boleh diuruskan atas perintah mahkamah. |
Kenyataan Bank Negara bersama Polis Diraja Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, serta Suruhanjaya Syarikat Malaysia itu dikeluarkan bagi menjawab soalan-soalan lazim orang ramai berkaitan serbuan ke atas syarikat-syarikat yang disyaki menjalankan kegiatan kewangan haram menggunakan emas.
Kenyataan itu menyebut aset dan emas yang dirampas semasa serbuan akan didokumenkan dengan teliti, diambil kira dan disimpan di tempat selamat. Katanya operasi mencari dan merampas aset-aset adalah bagi mengelakkan syarikat yang disyaki daripada menyembunyikan bahan bukti, selain mengelakkannya daripada lesap dan memberi kesan buruk kepada pelabur.
Menurutnya, pada masa ini siastan masih lagi dijalankan namun tempoh siasatan bergantung kepada tahap kompleksiti dan keseriusan sesuatu kes.
"Tahap kompleksiti telah meningkat disebabkan oleh dimensi antarabangsa kes-kes tersebut. Siasatan ini diberi keutamaan tinggi dan semua sumber yang perlu telah digembleng oleh agensi penguatkuasa yang berkenaan untuk mempercepat siasatan," katanya.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya berhati-hati dengan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan tinggi dengan risiko yang kelihatan rendah, selain merujuk kepada agensi berkaitan apabila berurusan dengan syarikat atau individu yang menawarkan perkhidmatan kewangan tidak berlesen.
Sumber: Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan