Rabu, 21 November 2012

HADIAH BARANG KEMAS KEKAL ABADI

Kerlipan batu permata, nilam, kristal dan emas sememangnya tidak pernah menghampakan. Ketepikan seketika idea pemberian klise - biasanya bunga dan coklat - lalu dihadiahkan insan tersayang dengan barangan kemas yang bergaya dan tidak lapuk ditelan zaman.

Sesekali semarakkan detik manis percutian hujung tahun dengan pemberian barang kemas dan dua koleksi terkini daripada Carrera Y Carrera pasti 'menangkap' perhatian. Ia bukan sahaja berupaya menyerlahkan sisi feminin si penerima malah menonjolkan buatan unik sang pereka.

Rantai, cincin dan subang saling melengkapi koleksi Aqua yang menonjolkan salah satu elemen kehidupan iaitu air. Batu manikam biru dan permata diikat bersama emas putih yang menzahirkan gaya lebih anggun, juga mewah pada  si pemakai.

Bagi meneruskan warisan sejarahnya, jenama dari Madrid ini turut memperkenalkan koleksi Alamar yang dicetuskan daripada perincian pada busana matador di Sepanyol. Dengan menampilkan subang serta cincin bertatahkan permata dan batu nilam, Alamar diangkat sebagai lambang keberanian dan kecekalan yang diperlihatkan kepada rekaan penuh berseni di sekeliling ikatan batu.

Sementara itu, Gubelin dari Switzerland juga memperkenalkan himpunan barang kemas yang kini boleh didapati di Starhill Gallery mulai bulan ini. Sejak 1845, Gubelin yang diwarisi enam generasi kini sinonim dengan dunia barangan kemas dan jam tangan mewah yang sebelum ini hanya eksklusif di Switzerland.

Untuk koleksi terkininya, Gubelin memperkenalkan himpunan barangan kemas ilham daripada batu terdampar di pantai Madagascar yang terletak di lautan Hindi. Warisan himpunan klasik Madagascar sebelum ini diteruskan dengan koleksi baru yang lebih ringkas dan malar segar di samping menyerlahkan ekspresi kepelbagaian rona pada setiap rekaan.

Set kombinasi dalam koleksi ini menggabungkan gelang, rantai dan subang yang boleh didapati bersama emas putih atau kuning. Kepelbagaian fungsinya juga membolehkan koleksi ini dipakai kedua-dua arah dan tidak terhad pada penggayaan satu bahagian semata-mata.

Tiada ulasan: