Sabtu, 3 November 2012

MENGAPA PERLU BELI EMAS

Seiring dengan perubahan masa kini, dua sebab wanita membeli emas iaitu pertama sebagai perhiasan diri untuk tampak cantik, bergaya dan mewah manakala kedua untuk pelaburan masa depan berikutan nilainya yang semakin tinggi mengikut pasaran semasa.

Bagi kategori pertama, apabila ingin membeli dan memiliki emas, rekaan barang kemas berkenaan menjadi antara faktor utama dipertimbangkan. Berbeza kategori kedua, harga sentiasa menjadi asas perkiraan kerana ia berkaitan dengan keuntungan jumlah dilaburkan.

Memang tidak dinafikan kini peranan emas lebih daripada perhiasan wanita, malah boleh dijadikan aset paling berharga untuk jaminan masa depan. Ini berikutan, emas boleh diniagakan pada harga tinggi dan walau apa pun berlaku, nilai emas tidak pernah susut.

Emas juga dilihat sebagai perlindungan nilai paling selamat dalam situasi ekonomi tidak menentu. Hampir setiap hari harga emas meningkat sekali gus menjadikan ia sebagai pelaburan alternatif untuk menjana keuntungan dalam jangka masa panjang.

Bagaimanapun,untuk memastikan simpanan emas dilakukan memberi pulangan tinggi, pelabur perlu mendapatkan emas pada harga paling rendah sama ada melalui harga kilang atau emas terpakai. Walaupun membabitkan konsep dan sistem berbeza sama ada membeli emas sebagai peminat atau pelabur, individu sewajarnya mempunyai pengetahuan dan maklumat ketika hendak membeli logam berharga itu untuk mengelak ditipu ketika berurus niaga.

Untuk mendapatkan harga rendah, emas boleh dibeli melalui ejen yang mendapatkan bekalan emas dari kilang atau membeli emas terpakai. Kedua cara ini boleh memberi keuntungan kepada pelabur, tetapi memerlukan masa dan tidak dapat untung serta merta. Senario sering berlaku individu selalunya membeli emas apabila ingin menjual emas lamanya.

Bagi yang ingin melabur mereka perlulah ada pengetahuan mengenai indeks harga emas, aliran turun dan naik, tahu cara mengenal pasti emas tulen atau tiruan, selain tahu teknik mendapatkan emas paling murah. Jika memiliki ilmu berkaitan emas, pelabur emas boleh mendapatkan keuntungan serta merta jika tahu cara betul.

Antara panduan membeli emas, kita perlulah mengetahui harga upah berpanduan rekaan barang kemas itu. Selalunya jika rekaan itu rumit, harga lebih mahal. Untuk mengelakkan kerugian, pemilik barang kemas patut tahu bila waktu sesuai membeli atau menjual emas. Sebaiknya, perlu buat tinjauan di beberapa tempat sebelum membeli.

Bagi mereka yang membeli emas untuk disimpan selama-lamanyadan diperturunkan kepada anak cucu, terpulanglah kepada individu sekiranya dirasakan ia mempunyai nilai sentimental. Sebaiknya, biarlah emas yang ingin disimpan itu benar-benar bernilai dan rekaannya unik dan menarik.

Suatu ketika dulu, ramai yang suka beli emas yang ada gambar Queen Elizaberth dan menyimpannya melebihi 30 tahun. Tetapi, selepas diperiksa pembuatannya bukan sahaja daripada emas tetapi turut dicampur suasa dan tembaga. Jadi, dimanakah nilai emas itu...

Tiada ulasan: