Selasa, 27 November 2012

PERLU ADA PERATURAN KEKANG URUS NIAGA EMAS

KUALA LUMPUR - Malaysia perlu mewujudkan peraturan yang sewajarnya untuk mengawal urus niaga emas bagi mengekang aktiviti pengambilan untung secara tidak sah oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, peraturan untuk urus niaga emas amat penting memandangkan logam kuning berharga itu didagangkan dalam nilai yang tinggi.

"Ini amat penting kerana kita perlu membeli dan menyimpan emas kerana emas meningkat dari segi nilai," katanya kepada pemberita di luar persidangan tahunan dunia mengenai riba.

Dr. Mahathir menjelaskan, syarikat urusniaga emas, Genneva Malaysia Sdn.Bhd (Genneva Malaysia), seharusnya disiasat secara teliti mengenai aktiviti urusniaganya. Genneva Malaysia ialah antara empat syarikat urus niaga emas yang diserbu oleh pihak berkuasa, termasuk Bank Negara Malaysia kerana disyaki melakukan kesalahan seperti pengambilan deposit secara haram dan pengubahan wang haram.

Syarikat urus niaga emas lain yang turut diserbu ialah Pageantry Gold Bhd, Caesar Gold Sdn.Bhd dan Worldwide Far East Bhd. Ditanya sama ada keputusan untuk menyiasat syarikat-syarikat urus niaga emas untuk kesalahan yang disyaki akan menyebabkan reaksi tindak balas kepada kerajaan, Dr Mahathir berkata," Saya rasa kita patut berhati-hati apabila mengambil keputusan tanpa menambah lagi masalah itu."

Persidangan dua hari yang bermula semalam akan menyediakan wadah untuk perundingan secara mendalam dan menyeluruh mengenai riba dan hubungannya kepada kemelesetan global yang berterusan, inflasi dan pergolakan sosial.

SUMBER - Berita Kosmo

Tiada ulasan: