Ahad, 20 Januari 2013

PIJAK MANGSA SEBELUM MELARIKAN BARANG KEMAS

MARANG - Tidak berhati perut. Itu gambaran yang sesuai kepada seorang penjenayah yang menyamun seorang wanita di hadapan sebuah rumah di Jalan Mengkudu di Kampung Pak Madah, Bukit Payung di sini,pada empat hari yang lalu. Penjenayah terbabit bukan sahaja menyamun rantai leher malah mengugut wanita malang itu dengan menggunakan senjata tajam termasuk memijak mangsa apabila mangsa enggan menyerahkan dua utas gelang yang dipakai kepada penjenayah itu. Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu,mangsa, Si Romah Hassan, 57, berada di luar rumah milik adiknya itu untuk memberikan kucing peliharaan mereka makan sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali dari arah belakang.

Adik mangsa, Mohd Ludin Hassan, 48, berkata, kakaknya yang terkejut dengan kejadian itu tidak sempat berbuat apa-apa, sebaliknya terpaksa menyerahkan barang kemas dipakai dan segera masuk semula ke dalam rumah dalam keadaan ketakutan. "Penjenayah terbabit bukan sahaja melarikan rantai dan dua gelang tangan yang dipakai tetapi turut memijak kakak saya menyebabkan dia mengalami kecederaan pada badan dan perlu menerima rawatan susulan akibat kejadian itu. "Dia (kakak) mengalami kerugian kira-kira RM70,000 apabila rantai leher dalam anggaran RM30,000 termasuk dua utas gelang tangan dipakai bernilai kira-kira RM20,000 setiap satu itu dilarikan,"katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai itu dan pihaknya akan menyiasat perkara itu.

Tiada ulasan: